Tomato atau nama saintifiknya Iycopersicon esculetum sememangnya digemari ramai. Sama ada diratah begitu sahaja atau digandingkan dalam pelbagai jenis masakan, tomato menjanjikan keenakan tersendiri. Hidangan Mediterranean dan Asia Barat menjadikan tomato sebagai bahan asas yang paling kerap digunakan.
Berasal dari keluarga Solanaceae, tomato kaya dengan zat besi, serat serta vitamin A dan C yang diperlukan untuk mengekalkan kecergasan badan. Ia juga mengandungi fruktosa, glukosa, asid folik, potasium, kalsium dan mineral garam.
Malah kajian di Amerika Syarikat mendapati pigmen merah pada kulit tomato mengandungi lycopene yang dikatakan mampu mengurangkan risiko barah prostat di kalangan kaum lelaki. Lycopene menawarkan khasiat antioksida semula jadi yang baik untuk kesihatan badan.
Khasiat tomato juga berkait rapat dengan kecantikan kulit. Sayuran ini dikatakan berkesan untuk mengecilkan liang roma, mengurangkan masalah jerawat dan merawat penyakit kulit. Elemen penyejuk juga mampu menyejukkan kulit yang kasar, astringen untuk menghapuskan minyak berlebihan, dan vitamin A dan C untuk mencerahkan kulit kusam dan mengembalikan keremajaan kulit.
Berikut adalah petua dan cara-cara penjagaan kulit menggunakan tomato.
Mengecilkan Liang Roma
Campurkan satu sudu jus tomato segar dengan 2 hingga 4 titik jus limau. Sapukan bahan tersebut menggunakan kapas pada kulit wajah dan urut perlahan-lahan. Biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air suam untuk mengecilkan lagi liang roma, selepas itu sapukan pelembap muka.
Merawat Jerawat
Hancurkan tomato segar dan sapu rata bahan tersebut pada kulit muka yang berjerawat. Biarkan sejam atau lebih sebelum dibilas dan dikeringkan. Buat setiap hari sehingga jerawat hilang.
No comments:
Post a Comment