Friday, December 28, 2012

BUAH-BUAHAN TROPIKA BERMUSIM BAIK UNTUK KESIHATAN





Malaysia kaya
dengan pelbagai buah tropika seperti durian, manggis, rambutan serta duku dan langsat.

Bagaimanapun bagi sesetengah anggota masyarakat, memakan buah-buahan ini boleh menyebabkan mereka tidak sihat.

Adakah ini satu mitos?

Sesetengah juga beranggapan bahawa buah import seperti epal dan anggur adalah lebih berkhasiat berbanding buah-buahan tempatan (bermusim).

Pelbagai persepsi negatif menjalar dan dilemparkan terhadap buah-buahan bermusim hingga menarik perhatian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk menjelaskannya.

BERMUSIM

"Tidak, saya tidak percaya buah bermusim seperti durian, manggis, rambutan boleh menyebabkan seseorang itu demam atau membawa kepada penyakit. Sebenarnya, buah-buahan kita unik, sedap dan kaya dengan khasiat.

"Tetapi, amat menyedihkan apabila ada segelintir pihak terlalu mengagungkan buah import kerana merasakannya lebih bagus, ini silap sama sekali," kata Timbalan Pengarah Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Penyelidikan Hortikultur, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Dr Zabedah Mahmood di Serdang, dekat sini baru-baru ini.

Senario merasakan buah-buahan import lebih bagus mungkin disebabkan oleh kurangnya promosi akan khasiat yang terselindung di sebalik buah-buahan bermusim.

Walhal, ia sebenarnya berkapasiti tinggi membekalkan nutrien diperlukan badan.

Atas sebab itulah, pemupukan amalan memakan durian, manggis, rambutan, duku yakni antara sebilangan jenis buah-buahan bermusim ini haruslah dirancak dan digalakkan dengan lebih aktif lagi.

Tambahan pula, harganya lebih murah berbanding yang diimport serta kandungan vitamin, khasiatnya tidak tergugat serta masih 'terpelihara' ekoran boleh mendapatinya, membelinya dalam keadaan segar.

KHASIAT

Dr Zabedah berkata, berbanding buah import seperti epal, anggur, kualiti kandungan vitamin, khasiatnya mungkin sudah berkurangan kerana terperuk dalam kotak penyimpanan agak lama serta melalui masa perjalanan agak panjang untuk sampai ke negara ini.

Ini menjadikan buah-buahan tempatan kaya dengan vitamin berbanding buah-buahan yang diimport.

Contohnya, kandungan vitamin C adalah lebih tinggi dalam sebiji buah rambutan jika dibanding dengan epal.

Menurut Zabedah, kandungan vitamin C pada rambutan dan pulasan adalah 70mg/100g berbanding epal hanyalah sekitar 6mg/100g. Sangat rendah, walhal vitamin C amat penting dalam kehidupan kita.

Antaranya, meningkatkan sistem imuniti badan serta melindungi daripada jangkitan penyakit dan selesema.

"Kedua-dua rambutan dan pulasan mempunyai kandungan air yang tinggi, iaitu melebihi 80 peratus. Kandungan proteinnya di sekitar 0.5 peratus-0.8 peratus dan kandungan lemaknya pula adalah agak rendah, iaitu 0.3 peratus-0.55 peratus," katanya kepada Bernama.

DURIAN

Khasiat buah-buahan bermusim bukan hanya tertumpu pada rambutan tetapi juga meliputi durian, yakni raja buah yang sentiasa dikaitkan sebagai punca demam panas.

Agak pelik bunyinya, namun pemakanan durian juga sebenarnya elok diamalkan kerana mengandungi potasium yang dikatakan baik untuk kesihatan jantung. Mengandungi 1,060mg potassium, durian juga membekalkan sumber vitamin C, tenaga dan mineral.

Isinya yang lembut, enak dan kekuningan itu bukan sekadar menjanjikan kesedapan tidak terhingga bagi pencinta durian, malah ia juga kaya dengan fiber, baik untuk proses penghadaman dan sembelit.

MANGGIS


Paling menarik adalah buah manggis. Menurut Zabedah, buah berbentuk bulat dan berwarna ungu kehitaman itu mempunyai nilai tinggi dari sudut pengkomersilan produk kesihatan.

Bukan sahaja isinya yang putih gebu mengandungi khasiat tinggi, tetapi kulitnya juga menjadi tumpuan untuk dibekalkan sebagai produk kesihatan.

"Sebenarnya, kulit manggis bukan lagi bahan buangan. Ini kerana, terdapat syarikat yang membeli kulit manggis sahaja di Mardi untuk diproses dan dijadikan produk kesihatan.

"Berbanding buah lain, manggis antara buah paling susah hendak dilihat di pasaran kerana sudah ada syarikat beli terus kesemua buah di dusun. Disebabkan itulah, harga manggis agak mahal kerana penawarannya tidak banyak," katanya.

Menurut Dr David A.Morton dari University of Utah, Amerika Syarikat, kulit buah manggis mempunyai bahan aktif biologi yang sangat kaya dengan antioksidan dan dipercayai berkesan untuk mencegah penyakit.

Dipercayai buah manggis berpotensi untuk mencegah batu karang, kanser, membuang kalesterol dalam badan dan mengimbangi seluruh badan.

CARA ANDA MAKAN, SALAH!

Akan tetapi, mengapa ada yang demam, batuk berpanjangan selepas menikmati buah-buahan bermusim? Ia seolah-olah tidak selari dengan kajian yang merungkai kepada kekayaan khasiat buah-buahan tersebut.

Mengulas lebih lanjut, kata Zabedah semuanya berkisar kepada cara pemakanan masyarakat. Sambil menegur sikap sesetengah orang yang membeli dan memakan buah durian, rambutan dalam kuantiti banyak pada satu-satu masa, Zabedah memberitahu gaya pemakanan sedemikianlah mendedahkan mereka kepada penyakit.

"Buah-buahan tempatan tidak mendatangkan penyakit, tetapi bergantung kepada cara kita makan. Kita dinasihatkan untuk memakannya dalam kuantiti sederhana, sekadar untuk mendapatkan khasiat di samping menikmatinya.

"Contoh, macam hari ini beli sedikit lusa beli lagi," katanya.

Sambil memberi tips cara pemakanan durian, beliau berkata adalah sebaiknya air kosong diambil secukupnya selepas menikmati raja buah itu, jangan makan ketika perut kosong, masa hendak tidur dan elakkan minum air berkarbonat.


PANAS

Tidak menafikan bahawa menikmati durian boleh mengundang rasa 'panas badan', justeru dinasihatkan agar ia disusuli dengan pemakanan manggis kerana buah itu boleh menyejukkan badan.

Maka, tidak hairanlah apabila buah manggis dikenali sebagai ratu segala buah kerana berpotensi meneutralkan suhu badan sekali gus berpadanan dengan status durian iaitu raja buah.

Bagi buah rambutan pula, Zabedah berkata masih ramai khususnya generasi muda tidak tahu kulit kayu biji rambutan yang terlekat pada isi buahnya itu tidak boleh dimakan kerana boleh menyebabkan batuk.

Disebabkan itulah, menjadi tugas pembeli untuk memilih kualiti buah rambutan terbaik di mana isinya lekang yang tidak tarik sekali dengan kulit kayu biji. Antara rambutan popular ketika ini adalah jenis anak sekolah di mana buah ini mudah dikopek dan dipisahkan bahagian isi dengan biji.

KEKAYAAN NEGARA TIDAK TERNILAI

Biarpun pelbagai persepsi, hakikatnya buah-buahan bermusim merupakan aset kekayaan negara paling bernilai, berpotensi sebagai tarikan pelancongan dan menjadi antara idaman masyarakat luar.

Di kala pertikaian akan bau tengik buah durian oleh segelintir kita, pelancong China berlainan pula. Bagi mereka, ia adalah sejenis buah yang sangat sedap.

Malah, durian kita yang berkualiti tinggi telah dieskport ke negara panda itu.

"Kita sepatutnya berbangga dan menghargai apa yang kita ada. Macam negara China mereka tidak ada durian dan amat menggemarinya.

"Amalan memakan buah-buahan tempatan haruslah dididik sejak dari kecil. Ia bukanlah sekadar 'buah', tetapi senario pemakananannya merupakan budaya masyarakat kita yang perlu dikekalkan," katanya. - Bernama

7 CARA KEMPISKAN PERUT BUNCIT




Ramai yang mungkin sedar perubahan fizikal badan mempengaruhi cara pembawakan diri seseorang apabila berdepan dengan orang ramai. Perubahan fizikal seperti ‘perut buncit’ kadang-kadang membuatkan seseorang itu berasa malu atau tidak mempunyai keyakinan diri apabila ingin menonjolkan diri di khalayak ramai. Bukan itu sahaja, perut buncit juga merupakan tanda awal kepada pelbagai jenis penyakit berbahaya .



Malah, apabila tidak mempunyai fizikal yang menarik seperti artis atau pembina badan, mungkin akan membuatkan individu itu berasa lebih tersisih dan berfikir negatif setiap masa. Pun begitu, terdapat cara yang sesuai untuk lelaki mahu pun wanita untuk mengatasi masalah mempunyai perut buncit. Tidak salah untuk mencubakan? Antara cara-cara untuk mengempiskan perut adalah:


1. Minum Banyak Air Masak

Apabila tubuh badan kita menerima sumber air yang banyak, keadaan itu akan mencairkan kuantiti sodium dalam tubuh badan sehingga membolehkan kuantiti air yang keluar dari tubuh badan juga meningkat. Mendapatkan jumlah air yang banyak juga akan menjaminkan fungsi hempedu yang lebih efektif sewaktu proses pembuangan air berjalan dengan lancar.

2. Makan Perlahan-lahan.

Ketika menjamah makanan, kita tidak digalakkan makan dengan cepat kerana udara akan terkepung di dalam usus dan seterusnya membentuk gas yang menggalakkan perut menjadi perut buncit. Makanan yang tidak dikunyah sehingga kecil juga tidak dapat dicerna dengan sempurna yang seterusnya menyebabkan proses kembung perut berlaku.

3. Kurangkan Garam Dalam Makanan.


Terlalu banyak garam dalam proses diet akan menambah ekstrak sodium terhadap cairan dalam tubuh dan melambatkan mekanisme proses pengeluaran air dari sel badan. Akibatnya, perut akan menjadi kembung dengan gas-gas yang terbentuk. Lama kelamaan, perut buncit pun boleh berlaku.


4. Makan Makanan Yang Penuh Serat.

Serat adalah elemen yang penting dalam piramid makanan. Untuk mengimbangi kuantiti air dalam tubuh badan, amalan memakan sayur-sayuran hijau dan buah-buahan seperti epal dan pear dapat membantu dalam proses penjagaan dari mendapat penyakit perut buncit ini.

5. Kesan Pengambilan Ubat.

Terdapat juga kajian yang dilakukan mengatakan, pengambilan pelbagai jenis ubat-ubatan menjadi salah satu punca perut menjadi perut buncit. Sebagai contoh, ubat Aspirin yang terlalu kerap di ambil akan menyebabkan timbulnya penyakit lain seperti sembelit.

6. Hindari Sembelit.

Sembelit berlaku apabila seseorang itu mengalami masalah dalam pembuangan  najis dan hanya membuang tidak lebih dari tiga kali seminggu. Sebagai akibat dari penyakit ini, perut akan mengumpul gas-gas yang berlebihan dan merangsang isi perut mengumpul lemak-lemak yang boleh menyebabkan kekembungan dan perut buncit. Oleh itu, pengambilan serat dan buah-buahan adalah digalakkan.

7. Lakukan Senaman atau Bersukan.

Bersukan sebanyak tiga kali seminggu dapat membantu meningkatkan kadar metabolisme dalam tubuh badan yang bagus untuk pembakaran dan pemecahan lemak. Bersukan akan membantu menggerakkan cairan berlebihan dalam perut dan dikeluarkan dari tubuh badan sebagai peluh. Ini seterusnya akan mengekalkan bentuk badan seseorang yang sesuai dengan ketinggian dan berat badan.


sumber: melayukini.net

Thursday, December 27, 2012

RAWATAN ALTERNATIF BAGI MATA BENGKAK...




Kadang-kadang
selepas bangun tidur kita didapati mata bengkak atau sembab tanpa diketahui sebabnya. Biasanya, mata bengkak ini disebabkan oleh alergi, tidak cukup tidur, terlalu banyak kerja atau tersilap makan.

Di antara rawatan alternatif
yang disarankan bagi mengurangkan ataau meredakan bengkak mata ialah:

1. Sudu makan
- Lalukan belakang sudu makan dengan air batu cair, kemudian letakkan belakang sudu ini di atas mata yang bengkak selama 30 saat bagi setiap mata.

2. Peti sejuk
- Jika anda bangun tidur dengan mata yang bengkak, buka pintu peti sejuk dan masukkan kepala ke dalamnya selama 30 saat.

3. Krim hemorrhoid
- Sapukan krim ini di atas mata yang bengkak.

4. Timun
- Hiris timun sederhana nipisnya. Letakkan hirisan timun di atas mata yang bengkak selama 15-20 minit.

5. Teh hijau atau teh hitam
- Selepas rendam air teh, perah beg teh yang telah sejuk dan letakkan di atas mata yang bengkak selama 15 minit. Lakukan ini sambil baring.


sumber: sitik's

Wednesday, December 26, 2012

SAKIT GUSI..



Penyakit periodontal
atau lebih dikenali sebagai penyakit gusi sering dialami pada semua peringkat umur. Kebiasaannya ramai yang tidak mengetahui masalah penyakit itu sebelum mendapatkan rawatan. Ini menyebabkan ramai yang kehilangan gigi walaupun mereka masih muda.

Sisa makanan yang lembut akan berkumpul dan melekat di celahan permukaan gigi. Sisa makanan atau plak yang terbiar tanpa dibersihkan akan menjadi keras dan dipanggil kalkulus.

Air liur yang mengandungi kalsium akan menyebabkan plak menjadi keras. Pada tahap ini plak tidak boleh dibersihkan dengan berus dan anda terpaksa mendapatkan bantuan doktor gigi.

Tanda-tanda awal seeorang menyidap penyakit gusi ialah:


i. Mulut akan berbau busuk

ii. Gusi menjadi merah dan mudah berdarah apabila diberus atau mengunyah makanan yang keras

iii.. Gusi akan membengkak dan kadang-kadang bernanah

iv. Gigi akan menjadi longgar dan akhirnya terpaksa dicabut







Kalkulus
yang terbiar lama akan menjejaskan kesihatan mulut dengan menyebabkan gusi membengkak dan akhirnya menghakiskan tulang alveolar yang menyokong akar gigi dalam tulang rahang.




Proses penghakisan tulang alveolar itu akan memakan masa yang lama.Tulang alveolar akan menyurut menyebabkan gigi menjadi longgar kerana ketiadaan tulang penyokong. Walaupun tidak mempunyai karies atau berlubang,fungsi gigi boleh terjejas dengan penyakit gusi. Rawatan segera perlu untuk memulihkannya.

Rawatan yang diberi ialah scaling
iaitu mencuci gigi dan membuang kalkulus. Alat yang digunakan untuk mencuci dipanggil ultrasonic scaler. Rawatan itu akan menyebabkan gusi anda berdarah kerana gusi yang bengkak mudah berdarah.

Jika penyakit gusi pada tahap yang lebih serius, kaedah biasa tidak mencukupi untuk merawatnya. Gusi yang bengkak atau bernanah perlu dikeluarkan atau dipotong dengan melakukan satu pembedahan kecil. Penyakit itu selalu melibatkan lebih dari satu bahagian rahang, dan pembedahan kecil akan dijalankan secara berperingkat-peringkat.

Gigi yang longgar
kadangkala boleh menjadi kukuh semula tetapi ia akan mengambil masa yang agak lama. Bagi gigi yang terlalu longgar, rawatan splinting perlu dilakukan untuk mengukuhkan gigi dalam rahang. Kadangkala gigi yang longgar terpaksa dicabut dan digantikan dengan gigi palsu.

Bagaimanapun,  kejayaan rawatan periodontik bergantung kepada kerjasama pesakit kerana tanpa penjagaan kebersihan mulut ia tidak akan berhasil. Penyakit gusi sering kali mudah berbalik semula.

sumber:  www.mda.org.my



Tips Penjagaan Gigi

Pemakanan
Pemakanan mesti dijaga, kurangkan makanan yang agak manis dan melekit kerana akan menyebabkan ia melekat di celah-celah gigi.. Bukan dilarang makan, cuma kurangkan pengambilan. Contohnya coklat atau apa-apa sahaja makanan yang melekit yang menyebabkan korang tercungkil-cungkil gigi guna lidah selepas makan. Seeloknya, minum air putih dan berkumur-kumur setiap kali lepas makan. Ini dikatakan penjagaan atau pembersihan gigi sementara.


Berus Gigi
Kerap memberus gigi dapat menjamin kesihatan gigi. Menggosok gigi penting sebab ia menjaga kesihatan gigi dan gusi. Berus gigi setiap kali lepas makan dan ini akan membuatkan anda rasa fresh dan mulut sentiasa bersih setiap kali lepas gosok gigi. Sekurang-kurangnya beruslah gigi 3 kali sehari. Pagi, tengah hari dan sebelum tidur.Dan yang paling penting sebelum tidur sebab, sisa-sisa makanan yang berbaki dapat dibuang. Jadi tak dalah bakteria berkampung lalu terjadinya karies di situ.


Cara yang betul?

Gunakan vertical technique. Gosok ke atas dan ke bawah atau lebih tepat membulat (circular motion). Sekaligus dapat mengurut gusi-gusi sekali. Urutan pada gusi penting sebab boleh stimulate blood flow dan menyihatkan gusi.

Cara horizontally tak bagus, kerana boleh menyebabkan:
i) lapisan enamel pada gigi terhakis ( abrasion )
ii) bulu berus gigi (bristles) boleh mesuk ke ruang kecil antara gigi dan gusi.

Jangan gosok terlalu kuat. Gosok dengan sederhana supaya tidak melukakan gusi dan menyebabkan lapisan enamel pada gigi terhakis.

Pilih bristles ( bulu berus gigi ) yang lembut, nylon dan round-ended supaya tak akan merosakkan gigi dan mencederakan gusi.
Gosok juga lidah anda sebab boleh menyahkan bakteria yang ada pada lidah yang menyebabkan plaque dan calculus serta mulut berbau.

Gunakan Floss dan Interdental Toothbrush
Menggunakan dental floss adalah cara terbaik nak keluarkan sisa makanan yang tersekat di antara gigi.Ia juga boleh digunakan untuk membuang plaque yang terbentuk begitu juga dengan penggunaan interdental tooth brush.

Untuk cara yang lebih details tentang penggunaan floss. Refer website ni Dental Flossing.

Gunakan Pencuci Mulut Berflorida

Sekurang kurangnya kumur dengan pencuci mulut berflorida sekali sehari sebelum tidur tapi mesti digunakan selepas beberapa minit berus gigi. Bukan sebaik sahaja selepas berus gigi kerana ini boleh menyebabkan reaction antara pencuci mulut dan ubat gigi. Di nasihatkan 30minit sebelum dan selepas menggunakan mouthwash ni, jangan ambil sebrang makanan. Pilih pencuci mulut berflorida yang tiada kandungan alkohol sebab boleh menyebabkan ulcer untuk yang mempunyai gusi sensitif.

Elakkan Minuman Bergas atau Soda

Minuman bergas atau soda mengandungi asid seperti asid citric dan asid fosforic. Asid-asid ini akan perlahan lahan react dengan gigi dan menghakis permukaan gigi. Banyakkan minum susu, air putih dan jus.

susu = boleh menguatkan rahang anda
air putih = nuetral dan tiada microorganisma
jus =memberikan nutrient yang diperlukan oleh gusi dan gigi


Elakkan Merokok

Antara penyebab utama gigi dan kerosakan tisu mulut ialah merokok. Merokok jugak akan meninggalkan kesan kekuningan kepada gigi (jangka masa yang lama) dan melemahkan gigi. So gigi akan rapuh dan mudah reput.

Kunyah Gula Gula Getah
Ada chewing gums yang tidak mengandungi gula yang sesuai digunakan untuk dikunyah setiap kali selepas makan yang bertindak untuk membersihkan gigi kamu.

Elakkan Pengambilan Alkohol
Alkohol boleh menyebabkan radang pada gusi, lidah dan tisu tisu lembut di sekitar mulut. Pengambilan alkohol yang banyak berkemungkinan untuk mengakibatkan kanser mulut.
Buat pemeriksaan Setiap 6 Bulan @ 2 Tahun
Ini adalah cara yang terbaik sebab membolehkan kita untuk buat scaling (cuci gigi) dan membuang plaque dan calculus yang terdapat pada gigi serta menampal gigi yang berlubang.

sumber; penpatah.blogspot



Saturday, December 8, 2012

MENGENAL PENYAKIT HATI (HEPA)



Penyakit hati ialah sebarang gangguan terhadap fungsi (hepa) yang menyebabkan sakit atau hati gagal berfungsi dengan normal. Selalunya lebih 75% kerosakan tisu hati barulah ia gagal berfungsi.

Hati sebagai organ yang penting


Hati merupakan organ yang terbesar dalam tubuh manusia atau haiwan lain. Hati juga adalah satu-satunya organ yang mudah diganti apabila tisunya rosak. Ia terletak di bahagian atas abdomen dan dilindungi oleh tulang sangkar dada dan rusuk. Hati mempunyai 2 lobus (cuping) yang utama, yang dibekalkan oleh dua saluran darah iaitu arteri hepatik (membekalkan darah ke hati yang dipam dari jantung) dan vena portal.

Di antara fungsi vena portal di hati ialah:


* Membekalkan hati dengan nutrien dari usus dan limpa.

* Membenarkan bahan kimia dari saluran penghadaman memasuki hati untuk dinyahtoksikkan dan ditapis sebelum ia memasuki sistem peredaran darah ke seluruh badan.

* Menghantar bahan kimia dan protein yang diperlukan oleh sel hati bagi menghasilkan protein, kolesterol dan glikogen untuk keperluan badan.




Hati memainkan peranan penting dan berkait rapat dengan fungsi organ-organ lain dalam tubuh kita, dari penghasilan protein dan pembekuan darah hinggalah ke metabolisma kolesterol, glukosa dan zat besi (ferum). Hati juga merupakan organ yang berfungsi sebagai kelenjar kerana ia menghasilkan air hempedu.

Hati mempunyai banyak fungsi, di antara yang penting ialah:


1. Menghasilkan air hempedu yang diperlukan bagi penghadaman makanan berlemak.

2. Menyimpan glukosa atau gula berlebihan dalam badan dalam bentuk glikogen dalam sel hati, dan glikogen ini boleh ditukarkan semula kepada glukosa apabila badan memerlukan tenaga.

3. menghasilkan faktor pembekuan darah.

4. Menghasilkan asid amino (struktur asas protein).

5. Memproses dan menyimpan zat besi (ferum) yang diperlukan bagi menghasilkan sel darah merah.

6. Menghasilkan kolesterol dan bahan kimia lain yang diperlukan untuk pengangkutan lemak.

7. Menukarkan hasil buangan daripada proses metabolisma badan menjadi urea.

8. Menukarkan ubat-ubatan yang diambil kepada bahan aktifnya semasa di dalam badan.

Penyakit Hati (Hepa)


Simptom (tanda) biasa penyakit hati, di antaranya ialah
:

1. Loya.

2. Muntah.

3. Sakit perut di bahagian atas kanan abdomen.

4. Jaundice (sakit kuning) - kulit berwarna kuning disebabkan kepekatan bilirubin dalam saluran darah tinggi.

5. Keletihan, lemah dan turun berat badan.

6. Bagi Cirrhosis, simptomnya lebih khusus, seperti:

i. Kulit mudah lebam kerana kurangnya pengeluaran faktor pembekuan darah.

ii. Gatal-gatal kulit kerana garam hempedu boleh berkumpul dalam kulit.

iii. Gynecomastia atau buah dada lelaki membesar kerana hormon seks yang tidak seimbang, terutamanya disebabkan oleh peningkatan hormon estradiol.

iv. Mati pucuk, kurang nafsu seks, dan testis mengecil kerana pengurangan fungsi hormon seks.

v. Kekeliruan dan kelesuan disebabkan oleh peningkatan tahap ammonia (hasil buangan daripada metabolisma protein yang memerlukan hati untuk membuangnya) dalam saluran darah dan pengumpulan cecair dalam kaviti abdomen kerana pengurangan protein yang dihasilkan.

Jenis-jenis Kerosakan Hati



Di antara jenis-jenis kerosakan hati ialah:

1. Hepatitis - Sel hati menjadi radang.

2. Kolestasis - Aliran air hempedu tersekat.

3. Steatosis - Pengumpulan Kolesterol atau triglyceride.

4. Aliran darah ke hati terganggu.

5. Tisu hati rosak disebabkan oleh bahan kimia dan mineral atau sel abnormal.

Jenis-Jenis Penyakit Hati



Terdapat beberapa jenis penyakit hati, di antaranya ialah:


1. Hepatitis Berjangkit

Hepatitis bermakna keradangan sel hati disebabkan jangkitan.

Terdapat 5 jenis hepatitis, iaitu:

a. Hepatitis A


Hepatitis A ialah infeksi virus dan berjangkit melalui najis. Ia boleh menyebabkan keradangan hati akut yang selalunya boleh dirawat dengan suntikan vaksin. Jangkitan hepatitis A boleh dicegah dengan membasuh tangan bersih-bersih sebelum menyediakan makanan.

b. Hepatitis B


Hepatitis B berjangkit melalui cecair badan (melalui jarum suntikan penagih dadah, darah tercemar dengan virus hepatitis B, dan hubungan seks). Ia boleh menyebabkan infeksi akut atau boleh bertukar menjadi keradangan kronik yang akhirnya boleh membawa kepada cirrhosis dan kanser hati. Infeksi hepatitis B boleh dicegah dengan vaksin Hepatitis B.

c. Hepatitis C

Hepatitis C boleh menjadi hepatitis kronik. Ia berjangkit melalui cecair badan (melalui jarum suntikan penagih dadah, darah tercemar dengan virus hepatitis ini, dan hubungan seks). Hepatitis C kronik boleh menyebabkan cirrhosis dan kanser hati. Tidak seperti virus hepatitis B, virus hepatitis C tidak boleh dimusnahkan dengan suntikan vaksin.

d. Hepatitis D

Virus hepatitis D ini memerlukan virus hepatitis B untuk hidup, dan ia juga berjangkit melalui cecair badan (melalui jarum suntikan penagih dadah, darah tercemar dengan virus hepatitis B, dan hubungan seks).

e. Hepatitis E

Virus hepatitis E berjangkit melalui makanan dan air yang tercemar dengan virus ini.

2. Penyakit hati berlemak

Pengumpulan lemak dalam hati yang boleh menyebabkan keradangan hati dan perlahan-lahan akan mengurangkan fungsi hati.

3. Hemochromatosis (terlebih zat besi)

Hemochromatosis ialah gangguan metabolik yang menyebabkan banyak zat besi disimpan dalam badan. Zat besi yang berlebihan akan berkumpul dalam tisu hati, pankreas, jantung dan akan menyebabkan keradangan, cirrhosis, kanser hati dan kegagalan hati berfungsi. Hemochromatosis ini adalah penyakit keturunan.

4. Penyakit Wilson


Penyakit Wilson merupakan satu lagi penyakit keturunan yang mengganggu metabolisma kuperum (copper). Penyakit ini boleh juga menyebabkan cirrhosis dan kegagalan hati berfungsi.

5. Penyakit Gilbert


Penyakit Gilbert ialah ketidaknormalan dalam metabolisma bilirubin di dalam hati yang merupakan penyakit biasa. Penyakit ini tidak menunjukkan apa-apa simptom tetapi ia boleh didiagnosis dengan kenaikan paras bilirubin dalam darah. Penyakit ini tidak memerlukan apa-apa rawatan.

6. Kanser hati


Kanser hati primer berasal daripada sel dan struktur hati sendiri (contohnya, hepatocellular carcinoma). Kanser hati sekunder atau kanser metastatik pula bermula dari organ lain dan kemudian berjangkit ke hati melalui saluran darah. Kanser yang biasa berjangkit ke hati ialah kanser paru-paru, kanser payudara, kanser kolon, kanser perut, kanser pankreas, leukimia dan Hodgkin lymphoma.

7. Sindrom Budd Chiari - Ketaknormalan aliran darah


Sindrom ini adalah disebabkan oleh darah beku yang terbentuk di dalam vena hepatik dan menghalang darah keluar dari hati. Ini akan meningkatkan tekanan dalam saluran darah di dalam hati, terutamanya dalam vena portal. Tekanan ini boleh menyebabkan sel hati mati atau cirrhosis dan kegagalan hati berfungsi. Di antara penyebab kepada sindrom ini ialah polycythemin (kiraan sel darah merah naik secara abnormal), penyakit sel sabit, dan kehamilan.

Penyakit-Penyakit Lain Yang Berkaitan


Penyakit-penyakit lain yang berkaitan dengan kerosakan hati, di antaranya ialah:

1. Hepatic encephalopathy

Penyakit ini terjadi apabila paras ammonia meningkat disebabkan oleh kegagalan hati memproses dan mensintesis protein daripada makanan. Ini boleh menyebabkan kekeliruan, kelesuan, atau dalam keadaan teruk boleh terus koma.

2. Pendarahan abnormal


Oleh kerana hati bertanggung-jawab menghasilkan faktor pembekuan darah, kegagalan hati berfungsi menyebabkan meningkatnya risiko pendarahan dalam abdan.

3. Sintesis protein

Kegagalan hati berfungsi mensintesis protein akan menyebabkan kekurangan protein yang akan memberi kesan kepada fungsi bahagian badan yang lain.

4. Hipertensi portal

Kerosakan tisu hati akan meninggikan tekanan dalam saluran darah di dalam hati dan ini memberi kesan buruk kepada aliran darah ke organ-organ lain. Ini akan menyebabkan limpa membengkak dan vena juga membengkak di saluran penghadaman dari esofagus hinggalah ke anus (dubur).

Penyebab Penyakit Hati


Di antara penyebab sakit hati (hepa) ialah:

1. Alkohol


Alkohol adalah toksik (beracun) kepada sel hati dan boleh menyebabkan keradangan hati dan pengumpulan lemak dalam hati.

2. Cirrhosis

Cirrhosis merupakan penyakit hati tahap akhir yang menyebabkan parut kekal pada hati. Ini disebabkan sel hati normal digantikan oleh tisu parut yang menyebabkan keradangan hati dan akhirnya hati gagal berfungsi.



3. Ubat-ubatan

Ubat-ubatan boleh merosakkan sel hati sama ada sementara atau kekal. Sesetengah ubat yang terlebih dos boelh menyebabkan kecederaan hati dan seterusnya merosakkan sel hati.

Contoh:

a. Pengambilan berlebihan acetaminophen (seperti Tylenol, Panadol) boleh menyebabkan kegagalan hati berfungsi.

b. Ubatan statin yang berlebihan bagi mengawal kolesterol dalam darah juga boleh menyebabkan keradangan hati. Tahap keradangan sel hati ini boleh diketahui dengan melakukan ujian kandungan enzim hati dalam darah.

c. Antibiotik (seperti Nitrofurantoin, amoxicillin, clavulanic acid, tetracycline) juga boleh menyebabkan keradangan sel hati.

d. Sesetengah ubat-ubatan tradisional dengan jumlah vitamin yang berlebihan (terutamanya vitamin A) juga boleh menyebabkan hepatitis, cirrhosis dan kegagalan hati berfungsi.

e. Kebanyakan cendawan/kulat adalah toksik kepada hati. Oleh itu, berhati-hatilah makan cendawan yang dipungut liar yang jarang ditemui kerana ia boleh membawa mudharat atau maut.

Oleh itu, hindarilah penyebab kepada sakit hati ini. Rawatan penyakit hati ini berbeza-beza bergantung kepada jenis dan penyebabnya.

sumber: sitik's