
Terlalu banyak gula dalam makanan dan minuman amat membahayakan kesihatan, terutamanya gula pasir dan gula tiruan.
Di antara kesan buruk akibat pengambilan makanan dan minuman yang mengandungi banyak gula ialah:
1. Memberi tekanan kepada sistem imun (ketahanan) badan.
2. Menyebabkan naik berat badan (gemuk) dan obesiti.
3. Meningkatkan risiko mendapat penyakit hati berlemak.
4. Menyebabkan sakit kepala, termasuk migrain.
5. Menyumbang kepada hiperaktiviti, kebimbangan, depresi (kemurungan) dan sukar memberi tumpuan (konsentrasi).
6. Mempercepatkan proses penuaan, menyebabkan kulit cepat berkedut dan rambut cepat beruban.
7. Menyebabkan gigi cepat reput dan berlubang.
8. Meningkatkan kandungan kolesterol dalam darah.
9. Menyebabkan diabetes.
10. Meningkatkan risiko kanser payudara, kolon dan prostat.
"Kurangkan gula dalam minuman
tambahkan manis dalam senyuman"
sumber: sitik's

Gula diperbuat daripada 2 molekul atau dikenali sebagai gula ringkas, iaitu fruktos dan glukos. Fruktos berlebihan disimpan sebagai lemak oleh hati manakala glukos berlebihan pula meningkatkan kandungan gula dalam darah yang menyebabkan badan merembeskan insulin (hormon yang bertindak bagi proses penyimpanan lemak). Kedua-dua jenis gula ringkas ini menyebabkan kita berselera untuk makan yang manis-manis dan selalu rasa lapar.
Tidak dinafikan kebanyakan kita makan terlalu banyak gula setiap hari. Selain daripada gula semulajadi yang terdapat dalam makanan sihat seperti buah-buahan dan sesetengah sayuran (seperti jagung, beets, dan ubi kentang), lebih daripada 50% gula yang diambil setiap hari bersumber daripada makanan diproses. Walaupun sesetengah makanan tidak terasa manisnya, tetapi terdapat kandungan gula tersembunyi yang tinggi dalam makanan tersebut.
Gula juga banyak terdapat dalam kicap, sos tomato, salad dressing, yogurt berperisa, sos barbecue, biskut kering, sop, dan hampir semua makanan diproses.
Kebanyakan industri makanan menggunakan gula dan sirap jagung berfruktos tinggi yang murah sebagai bahan tambahan dalam makanan diproses bagi mendapatkan warna coklat, tekstur likat dan pekat, serta perisanya. Walaupun sekarang banyak produk makanan yang berhenti menggunakan sirap jagung berfruktos tinggi atas sebab-sebab kesihatan, tetapi mereka masih menggunakan gula sebagai bahan makanan tambahan. Namun begitu, penggunaan gula yang berlebihan juga sama toksiknya dengan sirap jagung berfruktos tinggi.

Apakah cara mudah untuk mengelakkan pengambilan gula berlebihan dalam badan?
Kaedah atau langkah-langkah berikut boleh diamalkan bagi mengelakkan pengambilan gula berlebihan:
1. Jangan minum air manis - amalkan minum air putih/air mineral/ air suam.
2. Makan lebih buah-buahan sebagai sumber gula semulajadi yang sihat.
3. Lakukan senaman atau aktiviti fizikal yang kerap bagi membantu badan memetabolismakan gula yang ada dalam badan supaya ia ditukarkan kepada tenaga bukannya disimpan sebagai lemak.
4. Makan madu bagi menggantikan gula pasir dalam minuman.
5. Jangan sesekali lupa baca label pada makanan diproses bagi mengetahui kandungan gula atau kalori dalam makanan tersebut.
Berikut adalah jadual bagi menunjukkan kandungan gula per 100g dan kandungan gula (dalam kuantiti sudu teh) bagi setiap hidangan makanan untuk kita jadikan panduan.

Badan manusiadijadikan tidak memerlukan banyak gula, namun begitu sebahagian besar makanan kita terdiri daripada gula kerana makanan berkarbohidrat juga akhirnya akan menghasilkan gula ringkas.
Sebenarnya gula tidak mempunyai fiber, mineral, protein, lemak atau enzim. Oleh itu, badan perlu mendapatkan zat-zat ini dari sel yang sihat untuk membolehkan gula dimetabolismakan, seperti meminjam kalsium, sodium, potasium dan magnesium dari bahagian badan yang lain.
Ini akan mengakibatkan osteoporosis, gigi berlubang/reput, penyakit gusi, menjadikan darah lebih pekat dan likat yang menyebabkan proses penyerapan terganggu. Gula juga meningkatkan risiko diabetes, batu karang hempedu dan obes (terlalu gemuk).
Gula sirap jagung pun mengandungi kandungan yang hampir serupa dengan gula pasir. Pengambilan gula tanpa kawalan juga dikaitkan dengan penyakit jantung, darah tinggi dan beberapa jenis kanser biasa.
Gula pasir putih sebenarnya bukan makanan tetapi ia lebih kepada bahan kimia tulen yang diekstrak dari tumbuhan, yang kandungannya menyerupai kokain.
Jumlah pengambilan gula yang sesuai ialah 2-4 sudu teh sehari, manakala setin minuman bergas mengandungi 11 sudu teh gula.
Apakah kesan gula ke atas sistem badan kita?
1. Gula menekan sistem imun badan
Contoh,
sebotol coke atau gula-gula akan menurunkan keupayaan sistem imun badan buat sementara waktu, sehingga beberapa jam lamanya. Bayangkan jika dalam sehari kita minum lebih daripada itu.
2. Gula menggalakkan keradangan
Makanan bergula memberi tenaga yang berlebihan dan menggalakkan berlakunya keradangan, yang mana akhirnya gula ini menggalakkan pula proses penuaan dan penyakit.
3. Gula menekan pengeluaran hormon tumbesaran manusia
Hormon tumbesaran manusia ini bukan sahaja diperlukan oleh kanak-kanak untuk membesar dengan normal tetapi juga diperlukan oleh orang dewasa bagi memperlahankan proses penuaan.
Biasanya hormon tumbesaran ini dirembeskan secara semulajadi oleh abdan. Disebabkan gula yang berlebihan akan menekan pengeluaran hormon tumbesaran, maka perlulah kita hindari makanan yang mengandungi gula yang tinggi supaya proses tumbesaran kanak-kanak tidak terganggu dan proses penuaan dapat diperlahankan.
4. Gula menggalakkan Glycation
Glycation ialah proses di mana molekul gula melekat kepada molekul protein dan lemak dalam saluran darah. Pelekatan ini akan menghasilkan sebatian toksik yang dinamakan Advanced glycation end product (AGEs) yang mempercepatkan proses penuaan, dan kerosakan yang terjadi ini tidak boleh diperbaiki lagi.
5. Gula menaikkan paras insulin
Pengambilan gula (sama ada dari makanan atau minuman) akan meningkatkan paras gula dalam darah secara mendadak. Selepas itu, pankreas akan mendapat isyarat bagi merembeskan banyak insulin bagi membantu menyingkirkan gula dari saluran darah ke sel. Apabila paras gula dalam darah menurun, paras insulin akan kembali normal.
Apabila keadaan begini sering berlaku (selalu mengambil makanan bergula secara berlebihan), pankreas akan terus mengeluarkan insulin, sehinggalah ke satu tahap di mana ia berhenti mengeluarkan insulin dan tidak respon lagi kepada keperluan menyingkirkan gula dalam darah. Pada masa ini, bermulalah penyakit kencing manis (diabetes) dan perlukan suntikan insulin.
Memandangkan betapa bahayanya pengambilan gula yang berlebihan, jadi sebagai langkah pencegahan "Kurangkan gula dalam makanan, lebihkan manis dalam senyuman".... wallahu a'lam. 
via: sitik's
Sumber 1, 2