Saturday, March 17, 2012

CIKU DAN KHASIATNYA

Buah ciku



Pokok Ciku merupakan tumbuhan yang menghasilkan buah yang boleh dimakan. Ciku banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Ciku atau nama saintifiknya Manilkara zapota adalah dari genus Achras dalam famili sapotaceae. Seperti buah betik, ciku juga dipercayai berasal dari Amerika Tropika.

Pokok ciku merupakan tumbuhan tropika hijau yang boleh mencapai ketinggian di antara 10-30 meter. Pokok ciku berbuah sepanjang tahun tetapi penghasilannya adalah tidak seragam. Buah ciku pada amnya berbentuk bujur dimana diameternya di antara 5-9 cm dan beratnya di antara 75-250 gm. Faktor-faktor utama penentu gred dan jenis sesuatu buah ciku ialah bentuk, saiz, warna isi dan citarasanya. Di Malaysia, varieti ciku yang boleh didapati ialah Jantung, Betawi, Pasir dan Subang.

Buah ciku pada amnya mengambil masa di antara 6-8 bulan dari tempoh berbunga untuk mencapai kematangan. Walau bagaimanapun, ciku yang dipetik selepas 7 bulan berbunga adalah lebih besar dan manis.

Buah ciku juga boleh dibuat jem, jus, kepingan ciku kering dan ditinkan dalam bentuk kepingan untuk membuat sherbet dan kandi. Selain itu, ciku juga boleh digunakan sebagai bahan mentah dalam industri pektin, glukosa dan jeli. Di negara lain seperti Amerika Latin, pokok ciku digunakan untuk mengekstrak ‘chicle gum’.

Kajian mendapati keluasan tanaman ciku di Malaysia pada tahun 2010 adalah sebanyak 1,115 hektar dengan hanya sekitar 515 hektar sahaja yang menghasilkan buah. Sebanyak 6,050 metrik tan ciku dihasilkan pada tahun 2010 yang bernilai sekitar RM 18,149,940 (atau mudahnya disebut RM 18.1 juta). Anggaran purata hasil tanaman ciku di Malaysia adalah sebanyak 11.7 mertik tan sehektar. Tanaman ciku banyak di Pahang (226 hektar), Johor (176 ha), Kelantan (173 ha), Terengganu (145 ha), Selangor (104 ha) dan Kedah (128 ha). Lain-lain negeri menanam ciku kurang dari 100 hektar. Pasaran ciku kebanyakannya adalah untuk pasaran domestik sahaja walau pun ada sebahagian kecil yang diekspot ke Singapura dan Brunei.


Secara tradisional, buah ciku telah dikenal pasti amat mujarab untuk merawat masalah bawasir (buasir). Caranya adalah dengan mengambil buah ciku yang belum cukup tua, ditumbuk dan dicampur dengan sedikit air panas dan garam. Minumlah bahan-bahan ini setiap hari sebelum sarapan. Ada cara yang lain iaitu 7 biji ciku muda sebesar ibu jari direbus dan diminum air rebusannya setiap pagi. Jadikan ia sebagai amalan setiap hari sehingga masalah buasir anda berkurangan dan lega.

Selain untuk merawat buasir, buah ciku juga mengandungi kandungan fiber yang tinggi yang amat mujarab untuk mengatasi masalah sembelit. Sering memakan buah ciku juga dipercayai dapat mengurangkan risiko untuk menghadapi kencing manis,
darah tinggi dan kanser. Disamping itu, ciku juga kaya dengan gula bebas, vitamin C dan bahan mineral terutamanya kalsium.

(sumber: wikipedia)

No comments:

Post a Comment