Thursday, March 8, 2012

MIGRAIN DAN AMALAN SUNNAH

Amalan sujud mempunyai hikmah kesihatan.

 
Bismillahirrahmanirrahim....

Tidak dinafikan bahawa setiap manusia mempunyai tekanan dan pelbagai ujian, malah kegagalan dalam memahami atau menghalusi Hukum Pertimbangan Sunnah adalah punca segala kemurungan maupun tekanan sehingga melibatkan sakitnya dibahagian kepala yang amat meruncingkan.

Tekanan kecil atau lebih dikenali sebagai sakit kepala adalah suatu penyakit yang telah menghantui semua manusia, tidak kiralah sakitnya dibahagian hadapan, dibahagian kening, sakit disebelah atas kepala maupun sakit dibahagian kanan dan kiri. Sakit dibahagian kepala yang paling ketara dewasa ini dan sangat popular dikalangan pelbagai masyarakat jagat adalah ‘migrain’.

Migrain dikatakan akan menyerang ketika keadaan individu atau pesakit itu dalam keadaan tertekan, kurang tidur khususnya, cuaca terlalu panas, silap pada pemakanan, terdedah kepada bunyi bising serta pelbagai lagi gangguan tekanan yang menjadi pemangkin kepada serangan migrain atau sakit disebelah kepala.

Tidak ramai juga yang peka dan mengambil berat akan punca sebenar gangguan atau sakit kepala, malah kebanyakannya sering mengambil berat akan mencari penawarnya sahaja. Namun, pada dasarnya ada beberapa jenis sakit kepala, yang gangguannya adalah berbeza-beza dari bagaimana rasa sakit yang dirasainya. Menurut Clinical Methods, rasa sakit juga boleh berlaku daripada setiap bahagian dari kepala, termasuk kulit, otot-otot, pembuluh darah, sinus, struktur gigi, dan saraf-saraf wajah.


Vaskular, Adalah Gangguan Migrain:

Rasa sakit adalah disebabkan berlakunya ketegangan dan berdenyut-denyut kepada sistem pembuluh darah di bahagian kepala. Jenis yang paling popular dari sakit kepala vaskular adalah migrain, dan menurut American Headache Society dialami sekitar 28 juta orang di Amerika Syarikat. Migrain boleh datang dan pergi, dan jika ianya datang, dijangkakan akan hilang sakitnya menjangkau lebih kurang 3 hari (72 jam). Rasa sakitnya bukan kepalang dan rasanya berdenyut-denyut samada disebelah kiri maupun kanan kepala. Gejala lain dari migrain adalah rasa mual, muntah, dan sensitif terhadap cahaya atau suara dan cepat marah. Peratusan pesakit migrain adalah wanita. Ertinya, wanita lebih ramai mengalami sakit migrain daripada lelaki. Ini disebabkan masalah sistem hormon dan kitaran haid.

Sesetengahnya punca migrain itu dikatakan adalah daripada gangguan tekanan, kurang tidur, sistem pemakanan yang tidak teratur, bunyi-bunyian yang bising, sinaran uv atau pancaran matahari yang terik. Ada juga kajian menunjukkan bahawa gangguan migrain berpunya daripada sistem usus besar, iaitu apabila seseorang mengalami sembelit dan kurang tidur. Ini kerana apabila kita kurang tidur maka sistem penyahtinjaan terganggu, maka sistem alteri atau kolon akan terganggu sehingga menyebabkan berlakunya ketegangan dibahagian belakang kepala.

Kadar dan punca sebenar masih belum diketahui setakat ini, hakikatnya pelbagai punca telah dikaji dan ada yang disebabkan faktor keturunan serta ada juga pengidap migrain bukan daripada keturunan.

Dalam keunikan Hukum Pertimbangan Sunnah ada  banyak kaedah bagaimana untuk menghindar daripada tekanan atau sakit kepala dan penawarnya yang telah ditunjuk ajar bagaimana untuk merawat penyakit maigrain khususnya. Contohnya tubuh kita haruslah cukup air (sentiasa basah dengan berwuduk atau minum air bila perlu), amalan bertahajud dan sujud lama khususnya diwaktu malam adalah amalan yang terbaik bagi melancarkan pembuluh darah dibahagian kepala dan kajian menunjukkan hanya dengan bersujud sahajalah ada satu saraf (stopper) di bahagian kelenjar pineal akan terbuka serta menyalurkan darah dan pada perlakuan beginilah kita akan merasa hening, tenang, ceria serta sukar untuk mendapat gangguan sakit kepala atau migrain.

Kesimpulannya, dengan menjaga perhubungan yang baik dan telus dengan Allah dan juga manusia, insyaAllah segala permasalahan dan juga penyakit yang dikatakan sukar untuk baik pun dapat dihindar atau dipelihara agar penyakit akan terhindar daripada menganggu kita. Sistem dan cara penyediaan makanan serta keberkatan sumbernya haruslah dititik beratkan. Terdapat beberapa amalan pemakanan sunnah seperti habatus sauda, kurma, madu asli yang dikatakan penawar segala penyakit  kecuali tua dan mati. Tidur lena atau tidur yang sebenar bagi kita dan yang dikatakan cukup adalah lebih kurang 4 jam sahaja, apabila lebih atau kurang tidur akan menganggu sistem jantung  pula. 

Semoga dengan info yang sangat ringkas ini dapat membantu anda bagaimana untuk menghindarkan penyakit migrain atau sering sakit dibahagian kepala.

(sumber: Dr Jaffry Hassan)

No comments:

Post a Comment