Sunday, May 6, 2012

GAYA HIDUP, KURANG SENAM: PUNCA DARAH TINGGI


Hipertensi!


Kegilaan masyarakat terhadap gaya hidup urban selain pendedahan kepada budaya hidangan popular seperti roti canai, kari kambing serta sup gearbox berisiko menyebabkan anda menghidap penyakit kardiovaskular iaitu darah tinggi.



Darah tinggi terjadi apabila darah dalam arterial dan venous circuit sistem kardiovaskular mengalir dengan tekanan yang lebih tinggi daripada biasa.

Jika tidak dikawal, penyakit kategori pembunuh senyap ini mampu mencetuskan antara punca Non Communicable Disease (NCD) atau penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, angin ahmar dan kerosakan buah pinggang dalam masa panjang. - Dr Azani Mohamad Daud.


Keadaan ini menyebabkan jantung terpaksa bekerja lebih keras untuk menentukan pengaliran darah ke seluruh tubuh sekali gus menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Berdasarkan kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2006, dianggarkan sekurang-kurangnya 63 peratus pesakit mengalami sama ada satu punca penyakit kardiovaskular manakala 33 peratus menghidapi dua punca utama pembunuh senyap itu. Kajian itu juga mendapati hanya 14 peratus pesakit mengalami ketiga-tiga faktor berkenaan.

Kadar kajian penyakit bagi individu dewasa berusia 30 tahun ke atas menunjukkan penyakit hipertensi menduduki senarai tertinggi dengan peratusan sebanyak 43 peratus, diikuti obesiti (37 peratus), hiperkolesterol (24 peratus) dan hipergilacemia (15 peratus).

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia, Dr Azani Mohamad Daud berkata, berdasarkan maklumat dalam kajian NHMS, daripada sejumlah 5.8 juta orang di Malaysia, hanya 2.2 juta pesakit saja mengambil inisiatif mendapatkan rawatan dan ubat mengawalnya.
Dr Azani berkata, laporan menunjukkan kebanyakan pesakit lebih gemar bersikap tidak endah dengan pecahan 41 peratus, diikuti mempunyai kesedaran (35 peratus), diagnosa dan mendapatkan rawatan (32 peratus) dan stabil atau terkawal (sembilan peratus).

Malah, hanya segelintir mempunyai kesedaran mendapatkan rawatan dengan pecahan Melayu iaitu 26 peratus bagi lelaki dan 34.2 peratus (perempuan), diikuti lelaki Cina (32.8 peratus) dan perempuan 40.4 peratus.

Manakala lelaki India sebanyak 37.4 peratus dan perempuan 38.2 peratus.

"Sasaran tekanan darah ideal adalah di bawah 140/90 mmHg bagi individu yang tidak mengalami sebarang penyakit sampingan. Manakala di bawah 130/80mmHg sekiranya mengalami diabetes, angin ahmar dan penyakit kronik.

"Penyakit darah tinggi boleh dielak. Namun, bakal berlaku pada sesiapa saja dengan potensi tinggi dalam kalangan perokok, individu kurang bersenam, pemakanan tidak seimbang, obesiti dan hiperkolesterol.

"Jika tidak dikawal, penyakit kategori pembunuh senyap ini mampu mencetuskan antara punca Non Communicable Disease (NCD) atau penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, angin ahmar dan kerosakan buah pinggang dalam masa panjang," katanya pada Mesyuarat Tahunan Saintifik Persatuan Hipertensi Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai penyebab utama penyakit kardiovaskular ini, Dr Azani berkata, kesedaran membabitkan penyakit hipertensi kurang dalam kalangan lelaki. Namun, paling ramai dihidapi perempuan.

Berdasarkan kajian mengikut bangsa, wanita Melayu dikatakan menjuarai kategori penyakit hipertensi paling ramai di Malaysia iaitu dengan 48.4 peratus, diikuti lelaki Cina (42.4 peratus), lelaki Melayu (41.7 peratus), lelaki India (40.5 peratus), perempuan India (39.5 peratus) dan perempuan Cina (38.7 peratus).

Dr Azani berkata, pesakit hipertensi perlu sedar bahawa ada beberapa peringkat tekanan darah tinggi iaitu Peringkat Tiga dengan tekanan darah melebihi 180 mmHg sistolik); Peringkat Dua (antara 160-179 mmHg sistolik); Peringkat Satu (antara 140 hingga 159 mmHg sistolik); pra-hipertensi (120 hingga 139 mmHg sistolik) dan ideal (kurang 120 mmHg).

"Setiap peringkat membawa natijah berbeza antaranya ‘serangan penyakit vaskular Periferal’ pada Peringkat Satu, kegagalan fungsi buah pinggang pada Peringkat Dua dan lebih teruk yang mampu membuatkan pesakit koma adalah serangan angin serta kegagalan injap jantung di Peringkat Tiga.

"Rawatan untuk mengawal hipertensi adalah mengawal berat badan sekali gus mendapatkan berat ideal atau unggul iaitu antara 18.5 hingga 22.9 kg/m2; tekanan darah ideal; tekanan kolestrol keseluruhan (kurang 5.2 mmol/l); serum seratinin (kurang 120umol/L) dan mendapatkan tekanan gula yang stabil.

"Orang ramai perlu sedar bahawa penyakit ini tidak mempunyai gejala jelas dan boleh dikesan melalui pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya setahun sekali," katanya menjelaskan tindakan segelintir pesakit tidak mengendahkan tekanan penyakit darah tinggi dalam risiko bahaya termasuk kematian.

Justeru, Dr Azani berkata, masyarakat perlu memantau kesihatan masing-masing melalui penekanan gaya hidup berikutan penyakit ini berlaku atas pelbagai faktor. Sehubungan itu, pesakit perlu bertanggungjawab dan lebih efektif terhadap kesihatan masing-masing serta mendapatkan pengetahuan membabitkan sakit dialami.

Kajian saintifik menunjukkan persekitaran amat kuat dan cenderung mempengaruhi tingkah laku manusia. Fokus MHS adalah meningkatkan kesedaran, pengetahuan mengenai gaya hidup sihat bagi kurangkan risiko penyakit NCD serta membangunkan kepentingan integrasi dan pengurusan multidisiplin risiko kardiovaskular.


Padah makan daging kambing setiap hari



MAKAN dianggap aktiviti wajib dan hobi kegemaran bekas pengurus bank ternama di ibu kota, Zainal Abidin Nordin. Menu kesukaannya adalah kari kambing atau daging bebiri tua dan raja buah, durian jenis Musang King.

Rentetan tabiat suka makan itu, Zainal Abidin akhirnya disahkan menghidap salah satu cabang penyumbang masalah kardiovaskular iaitu darah tinggi atau dari sudut saintifik dikenali sebagai hipertensi pada usia 19 tahun.

Ketika ditemubual kolum Sihat di kediamannya baru-baru ini, Zainal Abidin berkata, usia muda banyak dihabiskan dengan 'mencintai' makanan dan mula menyedari menghidap hipertensi selepas kerap kali mengalami pening teruk pada awal pagi.

Zainal Abidin berkata, perkara itu menyebabkan beliau terpaksa berjumpa doktor bagi mengenalpasti punca sakit yang dialami. Disifatkan sebagai terlebih berat ketika itu, beliau mula sedar perlu menjaga kaedah pemakanan serta rajin menjalani pemeriksaan kesihatan berkala bagi mengawal tekanan darah tinggi.

Mengulas lanjut mengenai menu kesukaannya, kegilaannya terhadap daging kambing mendorong Zainal Abidin makan daging itu setiap hari.

"Sekurang-kurangnya, saya perlu ambil satu hidangan masakan berunsurkan kambing setiap hari. Jika tidak, saya akan rasa lemah dan tidak bersemangat menjalankan kerja harian.

"Sudahnya, saya sudah boleh jangka jika alami pening dan mual, pasti tekanan darah tinggi memuncak. Justeru, saya atasi dengan amalkan minum segelas air limau suam dan berehat sekurang-kurangnya sejam selepas itu," kata bapa kepada empat anak ini.

Mengimbau saat getir menghidap sakit darah tinggi, Zainal Abidin berkata, selain pengambilan makanan tidak seimbang, tekanan kerja turut mempengaruhi kenaikan tekanan darah.

Beliau berkata, bebanan kerja sebagai pengurus bank dan tumpuan bagi memastikan perjalanan karier lancar menyebabkan Zainal sering mengalami tekanan berkali ganda.

"Selalunya, waktu kerja padat antara jam lapan pagi hingga 9.30 malam menambahkan kesukaran mengurangkan tekanan.

"Bayangkan, rutin normal dilakukan setiap hari seperti solat dan makanpun di pejabat saja. Tiada masa senggang dan ia tidak lagi mengambil kita faktor terpaksa mengharungi kesesakan trafik dalam perjalanan pergi dan balik kerja," katanya.

Difahamkan, tekanan darah lelaki berusia 61 tahun ini kembali normal selepas bersara. Aspek penjagaan pemakanan seperti mengurangkan masakan berlemak, bergaram, makanan bergula dan paling utama, makanan berminyak, membolehkan beliau mengatasi penyakit dialami.

Malah, Zainal Abidin sudah empat tahun tidak merasai keenakan roti canai selain mengamalkan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan purata berjalan kaki sejauh tiga kilometer pada setiap sesi senaman.

Waktu senggang diisi dengan bersosial bersama 'Kumpulan Jogging Titiwangsa' yang turut dianggotai lebih 30 anggota seusianya. Aktif dan gembira dengan aktiviti dirancang, Zainal Abidin mencadangkan supaya pesakit hipertensi sentiasa tenang, yakin dan menghayati kehidupan dengan ceria.

"Prinsip saya mudah. Kegembiraan dan kecenderungan minat akan membuatkan anda leka sekali gus tidak berfikir mengenai penyakit. Serangan psikologi melemahkan dan ia membuat anda rasa teruk mempunyai penyakit.

“Jadi, hargai kecergasan dan keceriaan anda," katanya yang masih menjalani pemeriksaan doktor setiap bulan dan mengambil ubat bagi mengawal kestabilan tekanan darah.

sumber: Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment