Tuesday, April 23, 2013

MEMAHAMI DAN MENCEGAH KARIES GIGI...





Tahukah anda penyakit manakah yang paling luas tersebar di seluruh dunia? Kebanyakan daripada kita akan menjawab kanser, diabetes, hipertensi, penyakit jantung dan strok, tetapi jawapan sebenarnya ialah karies gigi.

Karies gigi, dikenali juga sebagai kereputan gigi, kaviti atau gigi berlubang. Walaupun terdapat penurunan yang ketara dalam kes karies gigi dalam beberapa dekad ini kerana amalan kebersihan mulut yang lebih baik, namun ia masih lagi merupakan masalah besar.

Dr Carlos Sabrosa, Profesor Madya di Sekolah Pergigian State University of Rio de Janeiro yang juga seorang doktor pergigian merupakan penceramah undangan yang didatangkan oleh 3M ESPE Bahagian Pergigian dari 3M Malaysia bersempena Konvensyen Saintifik MDA/FDI ke-20.

Beliau berkongsi masalah dihadapi dalam menilai, menguruskan dan mencegah karies gigi serta menyentuh mengenai sebahagian daripada kemajuan-kemajuan terbaru dalam bidang pergigian.

Penyakit berjangkit

Apa yang menghairankan, ramai orang masih tidak mengetahui bahawa karies gigi merupakan penyakit berjangkit. Ia berpunca daripada bakteria dan menyebabkan penyahmineralan dan kerosakan tisu keras seperti enamel, dentin dan simentum akibat penapaian bakteria ke atas cebisan makanan pada permukaan gigi.

Menurut Dr Sabrosa, jika proses penyahmineralan pantas daripada faktor pemineralan semula air liur, kalsium dan ubat gigi berfluorida; tisu keras tersebut akan musnah dan karies gigi terbentuk.

“Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kesakitan, membawa kepada jangkitan, kehilangan gigi dan selulitis iaitu jangkitan pada kulit yang disebabkan oleh bakteria,” katanya.

Menurutnya, majoriti pengguna tidak tahu tentang kemajuan dalam bidang pergigian dan tidak berusaha mendapatkan rawatan bagi masalah gigi yang bukan sahaja menyakitkan malah mencacatkan dari segi fizikal dan rupa. Ini boleh memberi kesan negatif terhadap harga diri pesakit. Walhal ia boleh ditangani.

Rawatan bukan sahaja boleh memperbaiki wajah seseorang tetapi juga memberi keyakinan diri serta hidup yang bebas daripada kesakitan,” katanya.

Bagi kebanyakan kita, kebimbangan terhadap sakit gigi atau kemungkinan gigi terpaksa ditampal atau dicabut serta kehilangan rupa paras yang cantik sudah cukup untuk membuatkan kita memberus atau memflos dua kali sehari dan pergi berjumpa doktor gigi untuk penskaleran.

Kesan makanan segera

Jadi mengapakah sesetengah individu lebih mudah mendapat karies gigi berbanding orang lain? “Gigi pada asasnya adalah mineral yang sentiasa mengalami proses penyahmineralan
dan pemineralan semula oleh air liur. Individu yang mempunyai mulut kering – suatu keadaan di mana kurang air liur dihasilkan atau kelenjar air liur musnah akibat terapi radiasi – berisiko
tinggi,” katanya.

Menurutnya,
bentuk gigi, tabiat kebersihan gigi seseorang individu, diet dan keupayaan penimbalan air liur mereka menentukan sama ada individu tersebut mudah mendapat karies
gigi.

Kepelbagaian
makanan segera, masa yang diproses dan tinggi kandungan gula yang kini mudah didapati, langsung tidak membantu dalam menjaga kesihatan mulut.

“Minuman ringan mempunyai pH rendah dan kandungan sukrosa yang tinggi, manakala minuman tenaga pula menyediakan persekitaran yang ideal untuk penyahmineralan.

“Penyahmineralan berlaku dalam persekitaran mulut yang mempunyai pH di bawah 5.5 (berasid). Minuman ringan dan minuman tenaga biasanya mempunyai pH 2.5 hingga 3 (sangat berasid).

Jadi, sebagai langkah awal mengurangkan risiko karies gigi, jauhilah minuman ringan,” katanya. Walaupun ubat gigi berfluorida boleh membantu mengelak karies gigi, mereka yang berisiko tinggi perlu berbincang dengan doktor gigi mengenai ubat gigi anti-kaviti yang mempunyai kandungan fluorida efektif berbanding ubat gigi biasa.

Kepekatan fluorida dan tri-kalsium fosfat dalam produk seperti 3M Espe's Clinpro Tooth Creme membantu mencegah proses penyahmineralan dan pada masa sama membantu proses pemineralan semula.

“Produk seperti ini boleh digunakan bagi menggantikan ubat gigi biasa, tetapi ia perlu dipreskripsikan oleh doktor gigi. Individu yang mempunyai kaviti, mulut kering dan pemilih gaya hidup atau diet yang membawa risiko karies gigi, perlu berbincang dengan doktor gigi mereka mengenai langkah pencegahan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata,
dalam pergigian, seperti juga cabang perubatan lain, pencegahan adalah pilihan terbaik. Apabila berdepan dengan masalah, segera dapatkan rawatan, lebih awal lebih baik.

“Mencabut gigi merupakan pilihan terakhir dan jika perlu, pelbagai teknik baru telah diperkenalkan. Kemajuan dalam teknik dan bahan dalam pergigian sememangnya menakjubkan.

“Berbincanglah dengan doktor gigi anda mengenai rawatan yang sesuai, buat sedikit kajian sendiri dan tetapkan pencegahan karies gigi sebagai matlamat utama,” katanya.

sumber: SinarHarian.com

No comments:

Post a Comment