Sunday, February 17, 2013

SAWAN BOLEH DIUBATI....



Bersama Dr Fadzillah Ghazali

bminggu@bharian.com.my

Gangguan pada arus elektrik dalam otak dikenal pasti sebagai punca penyakit sawan..

SOALAN:

DOKTOR, anak saya disahkan mengalami penyakit sindrom nefrotik. Adakah penyakit ini boleh diubati? Bagaimana pula dengan pemakanannya? Adakah diet tertentu yang harus diambil? Selain itu, seorang anak saudara saya menghidapi penyakit sawan sejak umur enam bulan. Dia diserang sawan dua kali dalam sebulan. Dia masih masih bergantung pada ubat epilepsi yang diberi oleh hospital kerajaan. Adakah cara lain untuk mengatasi masalah ini.


Ahmad Kamal.


JAWAPAN:

Penyakit sindrom nefrotik ialah sejenis masalah buah pinggang yang kronik. Ia disebabkan oleh kehilangan protein yang berlebihan di dalam air kencing. Air kencing biasa tidak mengandungi bahan protein. Ini menyebabkan di sekeliling mata, muka dan kakinya bengkak.

Air kencing juga nampak kotor, berbuih dan berkurangan. Penyakit ini boleh diubati dengan rawatan steroid. Jika tidak ada kes berulang dalam masa lima tahun, peluang untuk kes tidak berulang sehingga dewasa adalah lebih tinggi.

Pemakanan kanak-kanak yang menghidap penyakit ini sama seperti kanak-kanak biasa. Kurangkan pengambilan garam dalam makanannya terutama makanan ringan dan makanan yang diproses. Lebihkan mengambil makanan yang tinggi kandungan protein.

Mengenai masalah sawan, seperti yang diketahui, penyakit sawan ialah sejenis penyakit kronik yang memerlukan rawatan jangka panjang. Ia terjadi disebabkan gangguan pada arus elektrik dalam otak iaitu manifestasi yang terjadi bergantung pada bahagian saraf otak yang terbabit.

Sekiranya menjejaskan keseluruhan bahagian otak, ia akan menyebabkan grand mal epilepsi. Sekiranya anak saudara masih mendapat sawan walaupun mengambil ubat sawan secara berterusan, beberapa perkara perlu dikaji semula sama ada:


1) Dos ubat yang diambil mencukupi,
2)Ubat yang diberi bersesuaian untuk jenis sawan yang dihidapi dan,
3)Perlu penambahan ubat yang lain atau tidak.

Tujuan utama rawatan penyakit sawan ialah memastikan pesakit tidak lagi diserang sawan dan dapat menjalani kehidupan dengan normal. Sekiranya tiada diserang sawan selama dua tahun dan ujian ulangan EEG adalah normal, ubat sawan mungkin boleh diberhentikan.

Secara amnya, kanak-kanak yang menghidap sawan mempunyai IQ yang lebih rendah dan mengalami masalah dalam membaca, mengeja dan mengira. Ini mungkin disebabkan oleh kerosakan pada bahagian otak yang menyebabkan sawan. Sesetengah ubat sawan juga boleh menyebabkan anak kurang cergas dan hilang tumpuan ketika belajar.


Bagi anda yang memiliki kemusykilan mengenai kesihatan, sila hantarkan soalan kepada :
"Doktor di Berita Minggu" melalui e-mel, bminggu@bharian.com.my atau
melalui pos di alamat:
Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Jawapan disediakan oleh: Dr Fadzillah Ghazali, Pakar Runding Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Darul Ehsan.--- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment