Dalam menjalani kehidupan seharian, stres atau tekanan memang tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan sebahagian daripada rempah ratus kehidupan manusia. Namun begitu, jika stres yang berlebihan tidak ditangani dengan betul dan berkesan, ia akhirnya akan bertukar menjadi murung (depresi).
Apabila sudah sampai ke tahap ini, hendak tidak hendak ia perlu ditangani dan dirawat dengan segera, sebelum ia menjadi lebih parah atau di luar kawalan, sehingga ada yang sampai membunuh diri dan mengalami masalah mental yang lain.
Mereka yang mengalami depresi (kemurungan) kronik biasanya memerlukan ubat anti-depresi yang dicadangkan oleh doktor, yang mana kemungkinan besar memberi kesan sampingan yang negatif.
Oleh itu, sebelum mendapatkan ubat anti-depresi (mengandungi bahan kimia), eloklah dicuba dahulu ubat anti-depresi semulajadi yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Jika kaedah ini berjaya, tidak perlulah anda mendapatkan ubat anti-depresi dari klinik.
3 kaedah semulajadi bagi menangani depresi ialah melalui:
1. Senaman
Senaman menggalakkan pengeluaran endorphins iaitu bahan kimia di otak yang memberikan rasa gembira dan suka, dan perasaan ini amat membantu mengurangkan depresi (kemurungan) dan kebimbangan serta kegelisahan. Cuba lakukan senaman seperti aerobik, berjalan, jogging, berenang atau berbasikal selama 30 minit sehari untuk tujuan ini. Melakukan senaman di luar rumah itu pun sudah membantu meningkatkan mood yang baik.
2. Makanan
Pengambilan makanan karbohidrat glycemic rendah (karbohidrat berkalori rendah tetapi berfiber tinggi) lebih kurang 110-170 g setiap kali makan dapat meningkatkan pengeluaran bahan kimia serotonin di otak yang memberikan rasa tenang dan nyaman (feel good).
Hindari pengambilan gula pasir dan alkohol yang boleh menyebabkan mood tidak menentu, sebaliknya banyakkan makan buah-buahan, sayuran dan minum air kosong atau air mineral.
3. Spiritual (Kerohanian)
Kepercayaan yang kuat dan mengamalkan ajaran agama amat membantu menangani depresi. Bagi orang Islam, mengingati Allah dengan berzikir, berdoa dan melatih diri menjadi seorang yang sabar, redha dan tawakkal sangat-sangat membantu menangani depresi dan perasaan keluh kesah yang tidak menentu. Bagi yang bukan Islam, meditasi atau yoga adalah pilihan terbaik.
sumber: sitik's
No comments:
Post a Comment